loading...
Suatu pagi seorang suami seperti biasa bersiap untuk ke tempat kerja. Dalam perjalanan ke kilang tempat beliau bekerja, beliau telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dahsyat. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian dengan meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 5 tahun. Di luar rumah mereka, terdengar bunyi ketukan di pintu. Apabila si isteri membuka pintu, beliau terkejut melihat tiga orang anggota polis dengan diketuai seorang Inspektor berdiri di luar. Dengan nada yang pilu, Inspektor berkenaan terpaksa menyampaikan berita yang menyedihkan itu kepada si isteri yang berdiri kaku. Jeritan dapat didengar oleh jiran apabila berita tersebut disampaikan kepada beliau. Apa yang dapat dilakukan lagi kerana kematian itu adalah benar.
Dua minggu kemudian, seorang jiran menceritakan bagaimana beliau melihat sebuah lori kecil berhenti dihadapan rumah balu tersebut dan beberapa lelaki telah masuk ke dalam rumah. Selang beberapa minit, lelaki-lelaki ini keluar dengan membawa bersama-sama mereka beberapa peralatan berharga dari rumah tersebuut seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan set hi-fi. Selang beberapa hari kemudian datang sebuah lagi lori dan kali ini mereka membawa keluar set sofa, set meja makan, alamari besar dan sebuah katil besar.
Satu bulan kemudian, jiran mereka dapat menyaksikan satu lagi senario. Kali ini, empat orang lelaki yang berbadan tegap datang ke rumah tersebut. Setelah salam diberi, si balu tersebut yang kebelakangan ini jarang dapat dilihat oleh jiran mereka keluar untuk menemui lelaki-lelaki ini. Salah seorang lelaki tersebut telah mengeluarkan sehelai kertas dan menunjukkan kepada balu tersebut sambil menunjuk-nunjuk ke arah kereta Toyota Corolla. Kemudian balu tersebut dengan rela hati menyerahkan kunci kereta kepada mereka dan mereka pergi meninggalkan balu tersebut yang berdiri kaku sambil menyapu air matanya yang mengalir dipipi. Lelaki tersebut adalah wakil daripada syarikat kewangan yang datang untuk menarik kereta kerana bayaran telah tertunggak.
Beberapa hari selepas itu, jiran tersebut menyaksikan seorang penjual akhbar datang ke rumah balu tersebut. Kali ini jiran mereka hampir tidak mengenali si balu kerana terdapat banyak perubahan pada dirinya dari rambutnya yang agak kusut dan berat badan yang menurun. Sejak akhir-akhir ini beliau tidak pernah bercakap dengan jiran-jiran hatta anak perempuan beliau yang baru berusia lima tahun jarang kelihatan bermain-main dengan teman-temannya. Penjual akhbar tersebut mahu beliau menjelaskan hutang akhbar yang dilanggani oleh arwah suaminya beberapa bulan yang lalu. Si balu cuba menerangkan keadaannya dan kesempitan hidup yang beliau hadapi sekarang. Seolah-olah tidak mengendahkan penderitaan yang dihadapi oleh balu tersebut, penjual akhbar itu tetap mendesak agar hutangnya dilangsaikan hari itu juga. Dengan langkah yang lesu, akhirnya balu tersebut masuk ke dalam rumah meninggalkan penjual akhbar berdiri di luar. Beberapa minit kemudian, jiran mereka dapat mendengar bunyi seperti bunyi pecahan kaca dan disusuli oleh tangisan si anak yang berkata “Mama, tu duit Ani, jangan ambil duit Ani”. Ternyata beliau telah memecahkan tabung anaknya untuk menjelaskan hutang kepada penjual akhbar.
Selepas itu tidak banyak berita yang didengar mengenai balu yang baru kematian suami ini. Tiada siapa yang mengetahui atau ingin mengambil tahu tentang beliau dan penderitaan yang beliau tanggung semenjak beliau kehilangan suami. Walaupun terdapat jiran yang bersimpati, mereka hanya mampu mencurahkan rasa simpati dan tidak mampu untuk membantu kerana mereka pun mempunyai tanggungan mereka sendiri.
Pada suatu hari, di kala matahari sedang menyinarkan cahayanya yang menerangi bumi, sebuah kereta Volvo berwarna biru yang berkilauan berhenti di hadapan rumah balu tersebut. Seorang lelaki yang berpakaian kemas dan bertali leher keluar dari kereta dan menuju ke rumah si balu lalu memberi salam. Selepas beberapa kali memberi salam dan mengetuk pintu rumah tersebut, beliau masih belum menerima sebarang jawapan. Tanpa berputus asa lelaki tersebut mengelilingi rumah itu dengan harapan dapat berjumpa dengan seseorang untuk bertanya. Dari jauh beliau dapat merasakan bahawa jiran-jiran sedang memerhatikan gelagat beliau. Kerana menyangkakan kehadiran lelaki tersebut juga mewakili mana-mana syarikat kewangan yang datang untuk menagih hutang, maka jiran tersebut telah berkata dari jauh, “Maaf encik, tiada orang di rumah. Mereka semua dah pindah”.
Mengesyaki jiran tersebut cuba merahsiakan sesuatu, lelaki tersebut terus ke rumah jiran tersebut dan berkata, “Maafkan saya kerana mengganggu puan. Nama saya Rizal Naidu Abdullah. Saya mewakili salah sebuah syarikat insuran di Malaysia. Sebenarnya arwah ada membeli satu polisi insuran daripada saya. Tujuan saya datang hari ini adalah untuk menyerahkan cek pampasan kepada puan Siti. Puan tahu ke dimana puan Siti sekarang?”
Tanpa memberi peluang lelaki tersebut menghabiskan percakapannya, jiran tersebut terus berlari ke arah rumah balu itu sambil menjerit-jerit memanggil nama beliau. “Siti, Siti, buka pintu. Ada orang insuran datang nak bagi duit”.
Kegembiraan jelas terbayang di wajah jiran tersebut. Beberapa minit selepas itu, kedengaran pintu dibuka. Agen tersebut seolah-olah tidak percaya melihat keadaan puan Siti yang berserabut dan keadaan fizikal yang agak kurus. Beliau memperlawa masuk dan pada saat itu hampir keseluruhan jiran datang berkumpul untuk menyaksikan sesuatu yang paling menggembirakan.
Agen tersebut berkata, “Puan Siti, puan tak kenal saya lagi? Sebenarnya saya pernah datang ke rumah puan untuk menerangkan tentang insuran kepada arwah suami puan dua tahun yang lalu. Tetapi pada masa itu puan melarang suami puan dari membelinya. Tetapi kerana cinta Allahyarham terhadap puan begitu mendalam, beliau tetap juga membeli satu polisi bernilai RM50,000.00 daripada saya dan meminta agar saya merahsiakannya daripada pengetahuan puan. Kedatangan saya pada hari ini ialah untuk menyerahkan cek pampasan insuran suami puan. Puan, saya berharap, puan gunalah wang ni dengan sebaik-baiknya dan berikanlah pendidikan yang sempurna kepada anak puan. Walau bagaimanapun, saya minta maaf kerana agak terlewat datang kerana saya baru saja mengetahui tentang kematian suami puan.”
Si balu seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarnya. Air mata kegembiraan kelihatan mengalir di kedua-dua belah pipinya. Beliau menangis kegembiraan sambil memeluk anak kesayangannya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada agen tersebut dan diikuti oleh jiran-jiran beliau, semuanya mengucapkan terima kasih yang tak terhingga. Suasana bertukar menjadi ceria dan kedukaan bertukar menjadi kegembiraan. Air mata kegembiraan jelas dapat dilihat pada pipi setiap yang hadir.
Bermula dari hari itu, saya tahu bahawa tugas yang saya lakukan selama ini adalah satu tugas yang mulia di dunia ini. Saya berjanji akan terus memberi perlindungan kepada setiap keluarga yang saya temui. Saya tidak dapat menggambarkan kepada anda semua bagaimana perasaan saya ketika itu. Anak kecil mereka yang comel boleh kembali bermain-main bersama-sama kawan-kawannya dengan penuh kegembiraan. Keluarga tersebut tidak lagi perlu memikirkan tentang duit untuk membiayai persekolahan anaknya. Si balu dapat hidup dengan aman dan tenang.
loading...
0 Response to " Kisah Janda Kaya"
Post a Comment